Rakyat Malaysia, Wira Sebenar COVID-19

PANDANGAN redup Melati ikut meredupkan cahaya lampu tidur biliknya. Hujan berguguran jatuh seperti butir-butir peluru. Jam berdetak tepat pukul 12 tengah malam. Melati dengan mata yang masih terkebil-kebil memerhati corak-capan bekas karat atap zink rumahnya yang berurat-urat dengan sarang anai-anai. Pada serat corak itu, dia selalu membayangkan babak adiwira sedang berlawanan dengan raksasa. Begitulah khayalannya melayang sebelum tidur.

Marnisah seperti rutinnya setiap malam akan memeriksa bilik tidur Melati sebelum tidur. Dia mengintai anak tunggalnya itu dari celah langsir pintu bilik anaknya. Melati belum tidur.

“Tak tidur lagi?”

“Tak mengantuk.”

Marnisah mengambil tempat di birai katil dan mengusap anak rambut Melati.

“Kenapa tak tidur lagi ni, sayang?”

“Melati tengok tu, ada raksasa tengah berlawan dengan Boboiboi”, balas Melati sambil menunjukkan jarinya ke arah atap zink.

“Betul Melati nampak?”, Marnisah sekadar melemparkan pertanyaan. Dia sudah masak dengan fiil anaknya yang gemar berkhayal sebelum tidur. Pertanyaan itu dibalas dengan anggukan oleh Melati.

“Nak tak kalau mak cerita dulu dekat negara kita, kita pernah berlawan dengan orang jahat yang kita tak nampak?”. Marnisah menatap wajah anaknya. Dia cuba memancing fikiran anaknya itu.

Melati mengalih pandangannya tepat ke muka maknya dan angguk tanda mahu.

Marnisah memulakan penceritaannya.

“20 tahun dulu, ada benda jahat datang ke bumi. Mula-mula dia pergi ke China, dia buat ramai orang jadi sakit sampai ada yang mati. Dia masuk ke dalam badan orang dan buat orang tu demam, batuk-batuk, selsema dan susah bernafas. Kemudian sakit-sakit tu berjangkit kepada orang lain sampailah merebak ke negara kita. Benda ni jahat sangat, tapi kita tak nampak dia sebab dia masuk dalam badan orang.”

“Benda tu hantu ke, mak?”, Melati mencelah tanda ingin tahu.

“Tidak. Nama benda tu Covid-19. Dia kecil sangat sampai kita tak boleh nampak dengan mata, tapi dia boleh membunuh kita”. Melati membeliakkan matanya dan menutup mukanya dengan telapak tangan ketakutan.

Marnisah meneruskan ceritanya. “Tak ada seorang superhero yang Melati tengok dalam TV boleh kalahkan Covid-19 ni. Kalau superhero dekat dengan dia, superhero pun boleh sakit dan mati.”

Melati menjadi bertambah takut. “Kalau macam tu, macam mana orang waktu tu lawan Covid-19?”, tanya Melati terketar-ketar.

“Waktu tu semua orang kena jadi superhero. Semua orang kena jaga diri sendiri. Semua orang kena duduk dalam rumah diam-diam, tak boleh keluar ke mana-mana. Tak boleh balik kampung, tak boleh pergi kerja, tak boleh pergi sekolah, tak boleh makan kat luar.

“Semua orang kena berkorban untuk pastikan kita menang lawan Covid-19. Ada kawan mak kena buang kerja, ada kawan mak terpaksa gadai rantai gelang untuk dapatkan duit nak beli makanan untuk anak-anak.

“Kawan mak yang jadi doktor tak boleh balik jumpa keluarga. Hari-hari kena pergi hospital sebab hari-hari ada orang baru kena Covid-19. Ada kawan ayah yang jadi polis tak boleh balik jumpa anak sebab bertugas setiap hari untuk pastikan orang tak keluar rumah.

“Itu jam, kedai semua tutup. Makcik-pakcik yang jual tepi jalan dan di pasar malam semuanya tak boleh cari duit. Semua jadi superhero untuk selamatkan negara dari Covid-19.”, Marnisah membeliakkan sedikit matanya sambil mengulum senyuman kepada Melati.

“Kesiannya orang waktu tu ya, mak. Mesti mereka rindu sangat anak-anak sebab tak boleh jumpa.”, Melati mencelah dengan suara yang perlahan.

“Ya, kesian. Tapi waktu itu menjauhkan diri tanda sayang.”

Melati terus tekun medengar cerita maknya itu. Fikirannya merayap membayangkan kehidupan rakyat Malaysia ketika itu. Kisah yang diceritakan kepadanya telah memberitahu wira dunia sebenar adalah mereka yang berjaya melawan diri sendiri demi kesejahteraan dunia. Wira sebenar tidak semestinya perlu mengangkat senjata dan mempunyai kuasa luar biasa, tetapi wira sebenar adalah mereka yang berkorban harta benda walau dalam keadaan belum bersedia.

Di akhir penceritaan malam itu, Marnisah menanyakan anaknya satu soalan, “Kalau orang tanya Melati siapakah wira sebenar? Melati akan jawab siapa?”

“Rakyat Malaysia”, jawab Melati menyimpul.

***

Marnisah memimpin tangan anaknya ke pinggir pantai Teluk Cempedak. Dia melukis sekuntum senyuman sambil memerhati pantai yang dipenuhi dengan orang yang sedang berkelah; tahun 2041 bersamaan 20 tahun Malaysia meraikan kemerdekaan dari jajahan wabak Covid-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bitnami