Fahmi Tunai Janji, KKD Siar ‘Biar Betul!’

Kementerian Komunikasi dan Digital memperkenalkan segmen khas ‘Biar Betul!’ yang akan disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1 mulai 1 Oktober ini.

Segmen khas tersebut diwujudkan dalam usaha menangkis penyebaran berita palsu dan fitnah dalam kalangan masyarakat.

Menteri Komunikasi dan Digital,  Fahmi Fadzil berkata segmen tersebut mempunyai tempoh masa seminit disiarkan setiap hari selepas slot Berita KANTA 744 di TV1 (7.44 malam) dan saluran Berita RTM

“Ia akan diulang siar menerusi semua platform media sosial RTM termasuk radio.

“Usaha ini juga ini merupakan kerjasama dengan portal Sebenarnya.my seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan MyCheck Malaysia seliaan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang berperanan menangkis berita palsu dan fitnah melalui pelbagai platform media,” katanya pada sidang media hari ini.

Menteri tersebut sebelum ini pernah berjanji di Dewan Rakyat dengan mencadangkan program Fitnah Apa Hari Ini ketika sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan kementeriannya.

Jawapan itu berdasarkan usul Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang mencadangkan agar kerajaan KKD mewujudkan satu saluran khas yang menangkis berita fitnah dan palsu yang diterima rakyat melalui aplikasi tertentu.

Fahmi memberi contoh video tular baru-baru ini mengenai caj klinik kesihatan yang didakwa dinaikkan antara RM10 hingga RM15 yang mencecah 2.8 juta tontonan dan ia menunjukkan fitnah yang tersebar itu meracuni fikiran rakyat dengan begitu pantas.

“Jadi saya bersama timbalan (YB Teo Nie Ching) dan Ketua Setiausaha Datuk Mohamad Fauzi Md Isa juga merancang usaha lain untuk memastikan kerjasama menyeluruh termasuk bersama pihak Polis Diraja Malaysia dengan pihak platform seperti Meta, Tik Tok dan Telegram,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Bitnami